Sunday, October 11, 2009

Utusan Kasih Dari Madinah al-Munawwarah (ep.akhir)

Tiga hari Iman menemani ustaz Fakhrul, keadaannya semakin tenat dan perginya pulang menemui Pencipta dengan penuh ketenangan dan waktu itu Iman ada menemaninya di sisi. Perginya seorang khalifah Allah diiringi oleh ribuan umat manusia yang berebut-rebut untuk mengurus dan mengusung jenazahnya. Begitulah adatnya muslimin di tanah suci. Masing-masing berlumba untuk mengejar jaminan di akhirat. Alangkah baiknya jika aku boleh turut serta mengusung jenazah… Iman cuma mampu mengiringi pemergiannya dengan doa yang takkan ada penghujungnya selagi hayat dikandung badan.


********************

Iman pulang ke tanahair dengan sebuah penyesalan. Dia menyesal, insan sebaik ustaz Fakhrul pergi terlalu awal sedangkan masih ramai yang memerlukannya. Seminggu kemudian, Iman cuba mengumpul kekuatan dan akhirnya dia pasti itulah masanya untuk dia mendengar apa yang telah dirakamkan oleh ustaz Fakhrul buatnya.


“Assalamualaikum… Nurul Iman. Ana pasti, apabila Nurul Iman melihat rakaman ini, ana sudah pergi menemui Pencipta kita…

Terlebih dahulu, ana ingin memohon ribuan kemaafan kerana pernah wujud dalam kehidupan Nurul Iman tanpa Nurul Iman sendiri menyenanginya. Mungkin kedatangan ana ketika itu tidak kena pada masa dan tempatnya. Namun itulah yang dikatakan takdir, pertemuan dan perpisahan adalah atas kehendak-Nya. Ana yakin, ada hikmah di sebalik semua yang telah terjadi.

Ana terlihat jalan hidup Nurul Iman sedikit tersasar. Dari situlah ana cuba mencari ruang dan peluang untuk membawa Nurul Iman berjalan semula di atas landasan yang sebenar. Walaupun Nurul Iman mentah-mentah menolak kehadiran ana, tapi ana yakin Nurul Iman yang kini mendengar kata-kata ana ini, adalah Nurul Iman yang punya pegangan kebenaran yang kukuh buat merintis keredhaan Ilahi.

Nurul Iman, pernah sekali ana melamar Nurul Iman dan Nurul Iman menolak ana. Ana terima dengan hati yang terbuka. Fitrah manusia, inginkan seorang teman yang boleh menemaninya siang dan malam, waktu suka dan duka. Ana cuma manusia biasa dan seorang lelaki. Tapi ana sedar, jarak umur 12 tahun antara kita menjadi salah satu sebab mengapa Nurul Iman sukar menerima ana. Ana maklum perkara itu. Ana mohon kemaafan sekali lagi.

Ana pernah cuba menghubungi Nurul Iman. Ana ingin maklumkan pada Nurul Iman tentang keadaan ana. Apabila ana gagal menghubungi Nurul Iman, ana terfikirkan sesuatu yang membuat ana yakin, Nurul Iman pasti datang mencari ana. Mungkin ana boleh namakannya utusan kasih dari Madinah al-Munawwarah. Ingatlah, kekalkan kualiti iman yang dalam diri Nurul Iman sekarang, buat selama-lamanya.

Nurul Iman, redhakanlah pemergian ana. Maafkanlah segala tindakan dan kata-kata ana yang pernah menyentuh hati Nurul Iman. Semoga Allah permudahkan perjalanan ana di alam baqa nanti.

Akhir kata, salam penuh kemaafan dari ana, Muhammad Fakhrul Al-Madaniy. Wassalam.”


***********************

“Ya Allah… sungguh besar ujian-Mu ini buatku, hamba-Mu yang terlalu lemah ini. Apakah ini satu nikmat dari-Mu, buatku merenung kembali kesilapan lalu. Astaghfirullah, kehidupanku yang lalu penuh dengan dosa. Ampunilah dosaku ya Allah.

Ya Allah… ku titipkan al-Fatihah buatnya di sana. Tempatkanlah dia di antara kekasih-kekasih-Mu. Kehadiran insane ini, utusan kasih dari Madinah al-Munawwarah memberiku sejuta keinsafan. Ku relakan pemergiannya dan ku bebaskankan segala perasaanku buatnya pada-Mu. Sesungguhnya Kau adalah Yang Berhak dan punya segala Kuasa dalam menentukan takdir hamba-Nya.

Ya Allah… sesungguhnya kehadiran dia disaat aku dahagakan bimbingan, merupakan satu rahmat buatku. Kehadirannya waktu itu adalah bukti kekuasaan-Mu ya Allah. Aku sebagai hamba-Mu, serendah-rendah martabatku, bersyukur kerana Kau menjadikanku salah seorang dari hamba-Mu yang benar-benar rasa bersyukur. Kau mempertemukan kami dalam satu illusi kemanusiaanku, kuasa ketuhanan-Mu. Aku sujud pada-Mu ya Allah.

Ya Allah… andai ini satu ujian buatku, kuatkanlah aku untuk terus menghadapinya. Lorongkanlah aku bagi menelusuri jalan berliku di hadapan. Sesungguhnya Kau Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, aamiin ya rabbal ‘alamiin.”


**********************


“Umi, Fakhrul tanya sikit kat umi boleh?”.

Fakhrul duduk di hadapan Iman yang baru sahaja selesai berdoa selepas solat Subuh. Wajah Iman tetap ayu tidak dimakan usianya yang telah menjangkau 45 tahun. Iman tersenyum memandang anak terunanya yang baru sahaja habis pengajian di sebuah IPTA.

“Hasrat umi nak Fakhrul mendalami ilmu agama dah tercapai. Umi nak Fakhrul belajar di Madinah. Bibir umi pulak tak pernah lepas dari menyebut nama tanah suci tu. Kenapa mesti Madinah, umi?”, tanya Fakhrul.

Dia membalas renungan Iman. Iman diam merenung mata Fakhrul. Otaknya ligat memikirkan jawapan terbaik buat Fakhrul. Dia cukup maklum dengan soalan Fakhrul. Mustahil Fakhrul tidak tahu keistimewaan tanah suci itu. Fakhrul cuba mengorek sesuatu dari kenangan silamnya.

“Umi tak nak Fakhrul sia-siakan kehidupan Fakhrul. Umi nak Fakhrul bawa balik sesuatu dari Madinah nanti. Mungkin juga utusan kasih dari Madinah al-Munawwarah.”, jawab Iman.

Fakhrul mengangguk. Dia tidak akan memaksa uminya untuk berterus terang. Apa yang cukup diyakininya, dia pasti akan menemui jawapannya di sana… wallahua’lam.


- TAMAT -

riena amiera – JULY 02’

Thursday, October 8, 2009

Utusan Kasih Dari Madinah al-Munawwarah (ep.3)

Setelah doktor mengesahkan Iman sihat sepenuhnya, dia terus menuju ke pejabat ustaz Fakhrul dengan ditemani mamanya. Naskhah al-Quran pemberian ustaz Fakhrul tetap rapi dalam simpanannya. Kerana itulah, sebaik sahaja dia dibenarkan keluar dari hospital, hatinya meronta-ronta untuk menemui ustaz Fakhrul.


“Cik Aida, boleh saya jumpa dengan Ustaz Fakhrul?”, tanya Iman.

Gadis bertudung labuh itu terpaku seketika. Dia memandang Iman, cuba mengingati sesuatu.

“Cik Aida, saya Nurul Iman dari Fakulti Perubatan. Iman… setiausaha agung MPP… Jangan kata cik Aida tak ingat saya pulak.”

“Iman? Ooohhh Iman… saya ingat dah. Alhamdulillah, Iman dah banyak berubah sekarang. Err… Iman tak tau apa-apa pasal ustaz Fakhrul ke?”, tanya Aida.

Hati Iman berdebar. Dahinya berkerut, meminta penjelasan dari Aida. Mungkinkah ustaz Fakhrul dah balik ke Madinah? Dan sebab itulah dia tidak menjenguk Iman…

“Ustaz Fakhrul dah balik ke Madinah.”, sambung Aida.

“Hmm…memang betul la sangkaan aku. Dia tipu aku… tapi aku rindukan dia… Kenapa dia balik ke Madinah tanpa pengetahuan ku…”, bisik hati Iman.

“Dah lebih enam bulan dia balik ke sana. Itupun selepas dia disahkan menghidap kanser hati. Dengar kata, keadaannya makin teruk.”, sambung Aida.

Iman tunduk menggigit bibir. Darahnya terasa naik ke muka, bulu romanya meremang. Ada sedikit kekeliruan yang menyerang benaknya. Bukankah sepanjang dia koma dan mendapat rawatan fisioterapi di hospital, ustaz Fakhrul yang menemaninya…yang memberi kegembiraan dan sinar baru dalam hidupnya. Mana mungkin ustaz Fakhrul balik ke Madinah enam bulan lalu.

“Tapi cik Aida….”, kata-kata Iman terhenti.

Dia menggeleng kepalanya. Aida tak perlu tahu apa yang terjadi.

Perlahan Iman keluar dari bangunan Pejabat Pentadbiran Fakulti. Airmata yang mula bergenang, cuba ditahan agar tidak mengalir. Kata-kata ustaz Fakhrul terngiang-ngiang dibenaknya, “Kita ini hamba-Nya yang lemah, bila-bila masa Dia berhak menarik nikmat nyawa kita ini. Ana takut, ana tak sempat untuk melihat perubahan Nurul Iman sepenuhnya…”.


Iman mengadu pada mamanya. Dia menceritakan segalanya. Cukup bertuah Iman memiliki ibu sebaik mamanya. Dengan bantuan dari rakan aruah papanya, Iman bertolak ke Madinah diiringi oleh sahabatnya Farin.


Kakinya melangkah lesu masuk ke wad kanser. Matanya liar mencari bilik yang dimaksudkan jururawat yang bertugas. Namun dia hampa apabila katil yang dimaksudkan sudah pun kosong. Cuma sebuah lagi katil masih berpenghuni. Tiba-tiba pemuda yang baring di katil tersebut menegur Iman. Iman menoleh lesu ke arahnya. Dia memperkenalkan diri dengan nama Bada, pelajar Malaysia yang menghidap kanser tulang. Dia menghuni bilik itu lebih tujuh bulan. Iman duduk di atas katil yang kosong itu mengahadap pemuda tersebut. Dia juga pelik bagaimana pemuda itu boleh mengenalinya.


“Cik Iman, ustaz Fakhrul dah dipindahkan ke ICU tiga minggu lepas. Tak silap saya, bertepatan dengan tarikh maulid nabi. Dia mengalami sesak nafas dan kesakitan yang teruk. Saya sendiri tak sanggup melihat keadaannya waktu tu.”.

Iman menarik nafas panjang. Tarikh itu sama dengan tarikh dia menerima naskhah al-Quran dari ustaz Fakhrul. Apakah maksud di sebalik semua ini…

“Ustaz Fakhrul ada cakap pada saya, mungkin dalam bulan ni, awak akan datang. Yang buat saya pasti, ustaz Fakhrul kata, takkan ada orang lain yang akan datang mencarinya selain awak. Tentu awak betul-betul istimewa dalam hidup dia kan? Beruntung awak dapat mengenalinya. Selama lima bulan perkenalan kami, banyak yang saya pelajari dari dia.”.

Bada merenung Iman. Iman diam lagi. Hatinya tambah sebak mendengar kata-kata Bada. Dia memandang Farin di sisinya dengan penuh tanda tanya dan tidak mungkin juga Farin dapat memberikan jawapan.

“Saya juga kagum dengan kekuatannya. Selama dia di sini, saya tak pernah dengar dia mengeluh. Bibirnya sentiasa basah dengan zikir dan menyebut nama Allah. Satu rahmat buat sesiapa yang mengenalinya, lebih-lebih lagi awak.”.

Bada tersenyum pula.

“Ya Allah, ujian apakah yang Kau beri padaku ini…”, bisik hati Iman.

Jantungnya berdegup kencang, lebih kencang dari tadi.

“Dari ceritanya, saya tahu dia begitu menyayangi awak. Dia kata, sebelum ni awak tak bertudung. Sikap awak jauh berbeza dari yang ada di depan saya sekarang ni. Tapi dengan yakin dia mengatakan, awak akan berubah. Awak dah buktikan, kata-katanya adalah sebuah kebenaran.”, sambung Bada.

“Dia ingin saya sampaikan rakaman kata-kata ni pada awak. Waktu tu, dia masih dalam peringkat awal kimoterapi.”.

Bada mengambil sesuatu dari laci kabinet di sisinya dan menghulurkannya kepada Iman. Iman menyambut perlahan iPod Sony dari tangan Bada.

“Ini hak awak. Saya dah penuhi amanahnya. Saya juga boleh pergi dengan tenang…”, ucap Bada sambil matanya merenung jauh ke luar tingkap. Ada sesuatu yang dirasakan oleh Bada… Masanya sudah tiba untuk dia juga mengundur diri…


Setelah mendapat kebenaran dari doktor yang merawat ustaz Fakhrul, Iman berjalan tenang menuju ke ICU. Dia kini merenung sekujur tubuh yang terlalu lemah terbaring dengan tiub-tiub halus melingkari tubuh. Iman merenung wajah ustaz Fakhrul. Dia kelihatan tenang dan ada senyuman terukir pada bibirnya. Inilah wajah hamba Allah yang punya kualiti iman yang cukup jitu. Iman sedikit terkilan kerana tidak dapat berbicara dengan ustaz Fakhrul. Terlalu banyak soalan yang perlu dijawab oleh ustaz Fakhrul.


Hidupnya sebelum ini yang penuh kekalutan, kegelapan, mula tenang dan bersinar dengan kehadiran dan kasih sayang ustaz Fakhrul. Hatinya turut terisi dengan kualiti iman yang tak ternilai. Namun dia terus keliru dengan perasaannya ketika itu. Dia mengaku, dia sudah mula menyayangi ustaz Fakhrul. Namun, hakikatnya ustaz Fakhrul yang menemaninya hanyalah pada bayangannya sepanjang dia di hospital. Ustaz Fakhrul tidak pernah bersamanya sepanjang waktu itu… Tetapi, bagaimana naskhah al-Quran itu ada padanya, tetap menjadi tanda tanya.