Tuesday, September 29, 2009

Utusan Kasih Dari Madinah al-Munawwarah (ep.2)

IMAN memandu keretanya laju menyusur lebuhraya bertingkat Utara-Selatan menuju ke Seremban. Dia cukup berang dengan tindakan ustaz Fakhrul, sama ada ketika perdebatan tersebut mahupun lamaran spontan tadi. Hatinya panas membahang bagai dibakar api yang cukup marak. Di kala dia mula hilang pertimbangan, kemarahannya dilepaskan dengan memandu laju di sepanjang lebuhraya yang had maksimumnya cuma 120kmsj. Malang tidak berbau, dia terlibat dalam satu kecelakaan.

Kemalangan tragis tersebut mengakibatkan Iman mengalami koma di mana tulang belakangnya patah dan ada dari sistem sarafnya tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini menyebabkan dia tidak mampu bergerak mahupun bercakap. Namun begitu dia masih berupaya untuk melihat dan mendengar.

“Assalamualaikum Nurul Iman, apa khabar hari ini?”, tanya ustaz Fakhrul.

Iman mengeluh di dalam hatinya. Sebolehnya dia tidak mahu lagi berhadapan dengan ustaz Fakhrul.

Ana dapat berita tentang kemalangan ini dari Professor Nubhan. Nurul Iman jangan risau, ana akan jaga Nurul Iman dan pastikan Nurul Iman akan cepat sembuh, insyaAllah.”

Dua bulan Iman berkeadaan sebegitu. Semuanya terpaksa dibantu dan diuruskan. Mujur ibunya setia menemani. Selama dua bulan itu jugalah Iman bersikap dingin terhadap ustaz Fakhrul. Namun, hati wanita tidak selamanya keras dan ternyata ia mampu dilembutkan. Iman mula menerima kehadiran ustaz Fakhrul yang saban hari juga datang, setia menemaninya. Keadaan Iman juga kian beransur pulih.

“Saya pelik la. Ustaz datang ke sini setiap hari mesti tepat pukul 10 pagi sampai waktu melawat. Baik pulak nurse benarkan ustaz datang waktu ni. Ustaz tak pergi mengajar ke?”, tanya Iman.

Ustaz Fakhrul tersenyum tanpa jawapan. Dia duduk bersandar merenung Iman.

“Mama datang setiap hari dan saya ada bagitau dia tentang ustaz. Jangan risau, semua yang baik tentang ustaz dan tak ada yang buruk kan… Dia nak jumpa ustaz.”.

“Tapi, bila mama Nurul Iman datang waktu ana selalu datang, ana tak muncul pula kan?”, celah ustaz Fakhrul.

Iman mengangguk. Ustaz Fakhrul senyum lagi, tetap tanpa jawapan yang diharapkan oleh Iman. Ternyata, dari semua tindakan ustaz Fakhrul, dia menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan Iman.

Bimbingan dari ustaz Fakhrul membawa sedikit demi sedikit perubahan pada diri Iman. Setiap hari ustaz Fakhrul mengajarnya dengan ilmu-ilmu aqidah, ibadah dan sebagainya. Dia juga sudah mula mengenakan tudung. Hari-hari yang dilaluinya begitu terisi dengan Nur kebenaran.

“Kita ini hamba-Nya yang lemah, bila-bila masa Dia berhak menarik nikmat nyawa kita. Ana takut, ana tak sempat untuk melihat perubahan Nurul Iman sepenuhnya…”, kata ustaz Fakhrul sambil menutup kitabnya.

“Apa ustaz cakap ni? Ustaz dapat alamat yang saya hidup dah tak lama lagi ke?”, tanya Iman dengan nada gurauan.

“Bukan begitu. Ana bercakap secara umum. Mungkin saja nyawa sesiapa. Tapi selagi kita mampu, persiapkanlah diri dengan bekalan untuk kita mengahadap hisab-Nya.”, jelas ustaz Fakhrul serius.

Iman tersenyum manis memandang ustaz Fakhrul.

“Ustaz dah banyak menyedarkan saya. Saya betul-betul terhutang budi dengan staz. Terima kasih banyak-banyak ustaz.”, ucap Iman.

“Tanggungjawab ana, Nurul Iman. Sebagai seorang guru, sahabat dan teman.”.

Ustaz Fakhrul tersenyum sendiri.

Ana ada sesuatu untuk Nurul Iman. Mungkin ini sebagai tanda kenangan dari ana…”. Ustaz Fakhrul menghulurkan sebuah bungkusan ke tangan Iman. Iman membuka bungkusan itu. Iman tersenyum melihat barang dalam bungkusan tersebut.

“Al-Quran ini buah tangan persahabatan dan tanda kasih dari ana buat Nurul Iman, sempena hari kebesaran nabi junjungan kita s.a.w dan hari lahir Nurul Iman yang ke-22 tahun. Inilah utusan kasih dari Madinah al-Munawwarah.”, ucap ustaz Fakhrul tenang.

“Ustaz nak ke mana? Kan ke saya tak habis lagi belajar dari ustaz? Lagipun, bagilah saya peluang untuk cuba menerima ustaz dalam hidup saya..”.

Iman senyum penuh makna.

Ana tak akan ke mana-mana. Setiap masa ana akan ada di sisi Nurul Iman.”.


Iman cukup gelisah hari itu. Hampir dua minggu ustaz Fakhrul tidak menjenguknya. Dia juga terasa dikhianati kerana ustaz Fakhrul sendiri pernah memberi jaminan yang dia tetap akan sentiasa menemani Iman. Pernah sekali Iman meminta nombor telefon bimbit ustaz Fakhrul. Namun, pelbagai alasan yang diberikannya pada Iman.



- to be continued -

Utusan Kasih Dari Madinah al-Munawwarah (ep.1)

UTUSAN KASIH DARI MADINAH AL-MUNAWWARAH

Suasana perdebatan semakin rancak. Mereka saling berbalas kata, menegak kebenaran di mata hati masing-masing. Sudah dua hari Dewan Perdana menyaksikan perdebatan yang cukup panas diperkatakan sejak seminggu lalu. Ustaz Fakhrul yang baru sahaja memulakan tugas barunya sebagai pensyarah di institut pengajian tinggi ini, menumpukan perhatiannya kepada seorang gadis berkebaya singkat yang agak lantang membantah perlaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang Islam di IPTA. Ada sesuatu pada gadis itu yang begitu menarik perhatian ustaz Fakhrul. Mungkin kerana keayuannya atau mungkin juga ketegasan dan kedegilannya. Atau mungkin apa sahaja…hanya Tuhan yang Maha Mengetahui…

“Saudara perlu faham, di IPTA bukan sahaja kita pelajar Islam, malah ada pelajar yang beragama Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya.”.

Iman membalas renungan lawan debatnya.

“Pelaksanaan undang-undang Islam di IPTA lebih memberi imej kurang baik pada kita sebagai pengamal dan penganut agama Islam. Mereka akan memberi persepsi yang buruk dengan pelaksanaan undang-undang ini. Kalau nak laksanakan juga, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Kolej Universiti Islam Malaysia kan ada.”, sambung Iman.

Tiba-tiba ustaz Fakhrul bangun dari kerusinya, menghadap Iman di atas pentas.

“Maaf ana mencelah, tapi pada ana, anti tidak layak untuk bercakap tentang agama jika keadaan anti sendiri sudah cukup memberi imej kurang baik pada Islam keseluruhannya. Kita bukan lagi di zaman Y2K… Semua tu dah jauh berlalu kita tinggalkan. Islam Hadhari juga sudah berlangsung lebih 15 tahun. Tertubuhnya Malaysia sebagai negara maju atas dasar sebuah negara Islam. Isu ini tak perlu diperdebatkan lagi.”

Suasana dewan yang agak gamat sebentar tadi, sunyi sepi mendengar respon dari ustaz Fakhrul. Iman menjeling ustaz Fakhrul dengan penuh rasa marah dan benci. Ego wanitanya dicabar di di dalam Dewan Perdana ini.

Ustaz Fakhrul adalah pensyarah dari Jabatan Ilmu Wahyu yang baru tiba dari Madinah. Ibubapanya adalah warga Malaysia, tetapi dia dilahir dan dibesarkan di Madinah dan menetap di sana selama 34 tahun. Bahasa Melayu yang digunakannya juga kurang fasih, namun masih boleh difahami.

*********************

Ana minta maaf andainya kata-kata ana kelmarin membuat Nurul Iman terasa hati. Ana tak berniat langsung untuk menentang, apalagi mengaibkan Nurul Iman.”

Iman berdiri di hadapan meja Ustaz Fakhrul. Dia hanya diam memandang ustaz Fakhrul sambil berpeluk tubuh. Rasa geramnya pada ustaz Fakhrul begitu membuak-buak.

Ana tahu, teguran ana itu tidak sepatutnya berlaku. Ana minta maaf sekali lagi. Nurul Iman maafkan ana ya. Ana…”

“Apa yang ustaz nak sebenarnya?.”, tanya Iman.

Dia membetulkan rambutnya yang tidak berikat.

“Hati ana begitu mendesak untuk mengatakan sesuatu pada Nurul Iman. Ana harap, kata-kata ana nanti tidak menganggu emosi Nurul Iman.”

“Cukuplah ustaz! Ustaz tau tak, ustaz dah malukan saya depan kawan-kawan saya dan pelajar-pelajar lain. Sekarang, hal ni jadi ejekan bagi diorang. Saya ahli Majlis Tertinggi Perwakilan Pelajar di sini, penganjur majlis debat tu. Ustaz boleh kembalikan balik maruah saya? Boleh ustaz buat permohonan maaf secara terbuka dalam Dewan Perdana tu?”, soal Iman.

Ana minta maaf banyak-banyak Nurul Iman. Ana akan buat sesuatu untuk menjernihkan kembali apa yang terjadi tempoh hari. Tapi ana ada hajat lain yang lebih besar untuk ana suarakan pada Nurul Iman.”.

Iman diam. Namun hatinya berdebar menanti ucap kata dari mulut ustaz Fakhrul.

Ana ingin… Nurul Iman jadi teman ana, sebagai zaujah ana. Ana harap apa yang ana katakan ni boleh Nurul Iman fikirkan dulu.”, ucap ustaz Fakhrul tenang.

Nurul Iman terkedu seketika, tidak menyangka yang ustaz Fakhrul terlalu berterus terang dengannya.

“Saya bagi amaran pada ustaz! Jangan ustaz cuba dekati saya lagi, dengan apa cara sekalipun!”, tengking Iman.

Dia cuba menyembunyikan perasaan gementarnya.

“Nurul Iman, berilah ana peluang. Sekurang-kurangnya terimalah ana sebagai sahabat Nurul Iman. Ana tahu, Nurul Iman perlukan seseorang untuk membimbing Nurul Iman.”, rayu ustaz Fakhrul.

“Kalau sebab ini ustaz panggil saya, janganlah buat macam ni lagi. Saya tak suka bercakap dengan ustaz, apalagi nak jadi teman ustaz! Ustaz tak sedar apa yang ustaz cakap ni. Maaf, saya kena pergi dulu.”, sambungnya lagi sambil melangkah meninggalkan ustaz Fakhrul.

Ustaz Fakhrul senyap mengiringi langkah Iman. Wajahnya yang tenang menyembunyikan segala kekalutan. Namun, tekadnya jitu untuk membantu Nurul Iman.

“Nurul Iman dah tersesat jauh. Berilah ana peluang untuk membetulkan keadaan ini…”, bisik hati ustaz Fakhrul.

SEBULAN berlalu, segalanya berjalan lancar buat Iman. Tiga hari selepas pertengkaran dengan Iman, Ustaz Fakhrul membuat permohonan maaf secara terbuka sewaktu Majlis Pelancaran Bulan Sukan Fakulti di mana Iman adalah Timbalan Pengarah Projek tersebut.


- to be continued -